Tuesday, 30 July 2013

1 Istimewanya Lailatul Qadar itu..

Bismillahirrahmanirrahim..




Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata: Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, 
maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir). Maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.

Huraian Hadith

1.   Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turun padanya Malaikat Jibril dan malaikat-malaikat yang lain ke bumi dengan perintah Allah.

2.   Setiap ibadat yang dilakukan bertepatan pada malam lailatul qadar dengan penuh ikhlas, insyaAllah amalannya akan diterima oleh Allah dan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.


sumber petikan: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

***

Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”.

Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah malam Al Qadar. Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1434H) atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…

Persediaan menenemuinya bukan dibuat  semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita! Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.

sumber petikan: Tanda-tanda Malam Al-Qadar (Ustaz Pahrol Juoi - genta-rasa.com)

***

Diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmizi, Ahmad dan lain-lain bahawa rasulullah s.a.w mengkhabarkan bahawa: "Tanda berlakunya Lailatul Qadar adalah matahari yang terbit pada pagi itu keputihan (dan dalam riwayat yang lain ~ kemerahan) yang tidak bercahaya."

Dikatakan sebabnya adalah kerana banyaknya bilangan para malaikat yang turun pada malam itu memenuhi bumi sehinggakan tiada satu jengkal pun dari muka bumi melainkan terdapat malaikat. Apabila manusia bersolat subuh, para malaikat mula naik ke langit. Maka dengan bilangan malaikat yang begitu banyak berserta cahaya mereka (malaikat diciptakan dari cahaya), maka terhalang cahaya matahari dengan cahaya para malaikat dan menyebabkan pudarnya cahaya matahari.

Moga-moga kita antara insan-insan yang terpilih oleh-Nya untuk bertemu Malam Al-Qadar ramadhan pada kali ini..

Ameen, Ya Rabbal Alamin.

-Ma'a salama

post signature

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...