Tidak..
lambat jodoh seseorang memang
tiada kaitan langsung dengan keturunan ataupun nasib malang. Hanya belum
sampai masanya. Ia umpama meniti suatu jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang
jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya
singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum
apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.
Nyatakanlah perasaan dan panjatkanlah keinginan anda itu di dalam doa-doa
ketika sembahyang. Allah Maha Mendengar.
Wanita baik untuk lelaki yang
baik, sebaliknya wanita tidak baik untuk lelaki yang tidak baik. Biar lambat
jodoh asalkan mendapat “Mr Right” dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa
lelaki yang tidak beriman di kemudian nanti.
Memang kita mudah tersilap
mentafsir kehidupan ini. Kita selalu bersangka-sangka, contohnya; aku pasti
bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa
yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.
Kita selalu melihat org memandu
kereta mewah dan terdetiklah di hati, berbahagialah orang itu. Hakikatnya
apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita pula ditimpa pelbagai
kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun mungkin di antaranya sebenarnya
tak berapa mewah) terpaksa membayar lebih ketika berhenti untuk membeli durian
di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar
berlipat kali ganda.
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan
jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda
pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal
seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang
motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di
tengah-tengah bandar raya.
Bukan semua yang anda sangka
membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi
ujiannya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Dunia penuh dengan
tipu daya.
Demikian juga perkahwinan. Ianya suci dan murni dan kerana itu ia disarankan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul
untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, namun ia
juga boleh jadi buruk kepada sebahagian yang lain bila org yang berkahwin itu kemudian hidupnya menjadi semakin tidak terurus dan tidak lagi mengikut landasan syariat agama.
Ramai orang menempah neraka
sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam rumahtangga. Bukankah dengan ijab dan qabul
selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga
turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya
jambatan ke neraka?
Berapa ramaikah yang menyesali
perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina
janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan
segala impian menjadi nyata?
Jika tidak sanggup untuk bergelar
isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk
bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa-rasa belum bersedia untuk
bersabar dgn kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin
dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi
telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala
cuba mendaki naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat
bagi mereka yang benar-benar mengerti tuntutannya.
Berkahwin itu menjanjikan pahala
tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman,
mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan
dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui
rahsia-rahsianya.
Berkahwinlah kerana Tuhan
dan menuruti sunnah junjungan besar s.a.w, bukan berkahwin kerana perasaan,
nafsu dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia
akan datang menjemput, namun perlu juga kita membuka lorong-lorongnya dengan
sedikit ikhtiar agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.
kerana sesungguhnya benar, jodoh
itu adalah rahsia Allah.
Wallahua'lam
sama-samalah kita bermuhasabah diri ini..
Rujukan: sebahagian c&p
ma'a salama